Terjumpa artikel ni di Website addeen.my Penerangan tentang Surah Al- Takathuur. Artikel yang sangat berilmiah. Selamat membaca.
MAJORITI ulama berpendapat surah ini merupakan surah Makkiyah, iaitu surah yang turun sebelum peristiwa hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah. Dinamakan sebagai surah al-Takathur keranan fokus utama surah ini adalah memperbaiki kefahaman manusia terhadap harta dan pemilikannya. Ini disebabkan kecenderungan manusia itu ke arah mengumpulkan harta, lantas menjadikannya sebab untuk berbangga diri dan menganiayai manusia yang lain.
Menurut al-Suyuti dalam al-Itqan, surah ini juga dinamakan sebagai alhaakum kerana mengambil sempena ayat permulaan. Demikian juga terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa ia dinamakan sebagai surah al-Maqburah kerana ada perkataan al-Maqabir dalam ayat yang kedua.
Tujuan utama surah ini adalah mengingatkan manusia tentang kesudahan yang pasti dialami olehnya, iaitu kematian lalu dipertanggungjawabkan atas segala pekerjaannya semasa di dunia.
Penjelasan Ayat
Kaitan surah ini dengan sebelumnya ialah dalam surah alQari’ah yang disusun sebelumnya, telah dihuraikan tentang hari Kiamat yang akan berlaku membahagikan manusia kepada dua jenis, sama ada puak yang memperoleh kebaikan ataupun puak yang menempah penderitaan dalam neraka Allah s.w.t. Dalam surah ini, Allah menjelaskan sebab manusia mendapat kecelakaan itu. Ayat yang pertama seolah-olah ingin mengadakan perkaitan dengan surah yang lepas bahawa manusia menempah kemurkaan Allah hingga menyebabkannya dihumban ke neraka lantaran kesibukannya mencari harta dan menguruskan anak-anak. Perkara-perkara seumpama ini apabila diberi penumpuan yang melampau akan menjadikan seseorang itu mengabaikan peranan-peranannya yang lain.
Dalam kebanyakan kitab tafsir, contohnya dalam Zubdatut Tafasir, alhaakum itu di terjemahkan sebagai syaghalakum yang bermaksud menyibukkan kamu. Kesibukan itu merujuk kepada kata kerja masa lampau bagi menunjukkan perkara itu benar-benar terhasil tanpa dapat dielakkan. Perkara ini memberikan gambaran bahawa kecintaan kepada harta adalah sesuatu yang mendarah daging dalam diri manusia.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan
mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu demi sesungguhnya kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (Surah al-Takathur, 102: 1–8)
Sekiranya Manusia Memiliki Emas.
Ibn Kathir membawakan beberapa buah hadis yang menyokong maksud ayat pertama ini, contohnya hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik, daripada Ubai bin Ka’ab r.a. bahawa Nabi bersabda, maksudnya, “Jika sekiranya manusia memiliki emas sebanyak satu lembah penuh, nescaya dia akan mencari yang kedua….” Ayat kedua pula menekankan bahawa kelalaian manusia ini biasanya akan berlarutan sehinggalah kepada kematiannya. Selanjutnya ayat ketiga memberikan ingatan yang tegas, berjagalah-jagalah kamu agar jangan sampai berlaku kecemasan itu, saat kematian kerana kamu akan mengetahui akibatnya.
Ayat keempat masih lagi mengulangi peringatan agar tidak lalai itu. Ayat ketiga dan keempat ini mengandungi makna bahawa persaingan anak dan harta benda ini tidak akan mendatangkan kepuasan yang hakiki dalam jiwa manusia itu. Menurut al-Dahhak, ayat ketiga ditujukan kepada orang-orang kafir sementara ayat keempat ditujukan kepada orang-orang beriman.
Antara keistimewaan Islam ialah perkara-perkara sedemikian bukanlah disampaikan dalam bentuk peringatan yang kosong, terasing dari amalan harian. Agar peringatan itu lebih berbekas di hati, umat Islam digalakkan menghadiri pengebumian untuk menyaksikan secara dekat hakikat perpisahan antara roh dan jasad itu. Perkara ini disebut Nabi s.a.w. secara terang menerusi hadis sahih riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Ada tiga yang akan mengiringi jenazah, dua darinya akan kembali (meninggalkan si mati), cuma satu yang akan ikut bersamanya. Ia diikuti oleh keluarganya, hartanya dan amalannya.
Keluarganya dan hartanya akan meninggalkannya, sedangkan amalnya akan tetap bersamanya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6514, Muslim, no. 2273) Dalam ayat kelima pula Allah s.w.t. sekali lagi mengingatkan manusia agar membuat persiapan terhadap hukuman yang bakal menimpa golongan yang lalai itu. Dalam ayat ini orang-orang beriman dituntut mempertingkatkan ilmu mereka agar mencapai keilmuan yang meningkatkan kesedaran sebenar terhadap hari pembalasan. Ilmu al-yakin merupakan satu pencapaian yang menjadikan seseorang itu bersedia sentiasa untuk berhadapan dengan sesuatu situasi.
Kedahsyatan Neraka
Dalam ayat keenam dan ketujuh Allah s.w.t. memperkukuhkan lagi peringatan-Nya kepada manusia yang bersaing di dunia bahawa mereka semua akan melihat neraka Jahim itu dengan sebenar-benarnya, tanpa sesuatu yang melindunginya. Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, di sini Allah mengemukakan suatu bentuk amaran terhadap golongan yang gemar melakukan maksiat bahawa mereka akan menyaksikan neraka dengan mata kepala mereka sendiri.
Kedahsyatan dan kengerian seperti yang digambarkan dalam sebuah athar, bahawa setiap kali neraka menghembuskan nafas panjang dengan satu kali hembusan, akan mengakibatkan setiap malaikat yang dekat dengan Allah dan setiap Nabi yang diutuskan tersungkur di atas lutut mereka. Penutup pada surah ini, Allah mengingatkan kepentingan bersyukur di atas nikmat.
Ibn Jarir mengemukakan dalam tafsirnya, sebuah kisah yang menarik yang menyokong ayat terakhir ini. Kisah ini berkaitan dengan persahabatan Nabi s.a.w. bersama Abu Bakar dan Umar r.a. Suatu hari ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan lapar yang amat sangat hingga menyebabkan mereka pergi ke rumah seorang sahabat Ansar yang kaya.
Sahabat ini begitu menghargai kunjungan rombongan Nabi itu lalu menghantar kurma, air dan daging ternakannya yang paling hebat untuk Nabi dan para sahabat. Selesai menjamu selera, Nabi s.a.w. lantas memberitahu mereka, inilah perkara yang disebut Allah s.w.t. sebagai Na’eim yang akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat kelak. Dalam sahih al-Bukhari, Sunan al-Tirmizi, al-Nasaeiy dan Ibn Majah daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Ada dua nikmat yang banyak orang tertipu olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6412, al-Tirmizi, no. 2304 dan Ibn Majah, no. 4170).
Menurut hadis ini mereka yang gagal melaksanakan hak yang telah diwajibkan ke atasnya maka dia termasuk dalam kalangan orang yang tertipu. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah s.w.t. berfirman, wahai manusia! Aku telah membawamu di atas punggung kuda dan unta. Aku menikahkanmu dengan wanita dan aku menjadikanmu hidup mewah dan terhormat, mana rasa syukurmu atas semua ini?” (Riwayat Ahmad no. 10378).
Karangan Ustaz Zahazan Mohamed dari Majalah Solusi 10.
Sumber: www.addeen.my
No comments:
Post a Comment